Waqaf Pendidikan

Mengenai Tanah Waqaf PEYATIM

YAWATIM diamanahkan untuk menguruskan program skim tanah waqaf PEYATIM seluas 320 ekar dengan kadar RM 30.00 bagi 0.01 meter persegi di Lot No.3214 Mukim Tasik, Setiu Terengganu.

Hasil program skim tanah waqaf tersebut, PEYATIM dapat membantu menambah prasarana dan pembangunan Universiti College Bestari, Kolej Teknologi Bestari dan Institut Kemahiran Bestari. Untuk jangka masa panjang pula, PEYATIM berhasrat menanggung segala perbelanjaan pendidikan anak-anak yatim atau miskin yang menuntut di IPTS bawah kelolaan PEYATIM.

Setakat ini, YAWATIM bersama badan induk PEYATIM telah mengadakan kerjasama dengan Pos Malaysia Berhad, Bank Simpanan Nasional, Bank Rakyat, Pasaraya Mydin dan juga yang terbaru dengan Bank Islam bagi menjayakan program derma tanah waqaf PEYATIM ini. Selain itu, terdapat juga wakalah individu dan korporat yang membantu melaksanakan program skim tanah waqaf ini.

Pelaksanaan Program Skim Tanah Waqaf PEYATIM

Proses pembelian tanah waqaf dibuat melalui borang akad khas yang digunakan oleh wakalah dan juga agensi-agensi dilantik mengikut kesesuaian perkhidmatan masing-masing.

Pembeli mewaqafkan tanah tersebut dan wakalah serta agensi terbabit mengeluarkan resit. Wang akan dimasukkan dan dipindahkan ke akaun PEYATIM.

YAWATIM menguruskan rekod, pengesahan pembelian, penghantaran surat dan sijil penerimaan tersebut. Pada masa akan datang, sijil digital akan dilancarkan selaras dengan perkembangan teknologi semasa dan langkah penjimatan.

Apabila selesai program derma dan pewaqafan, tanah ini akan dipindah milik kepada MAIDAM dan MAIDAM pula akan memohon penukaran status tanah milik kekal daripada pejabat tanah.