University College Bestari (UCB) ( Kolej Universiti Bestari ) merupakan salah sebuah Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) pertama yang berusaha memartabatkan anak-anak Melayu miskin, golongan PPRT(Program Pembangunan Rakyat Miskin) dan anak yatim seluruh Malaysia yang berkemampuan dalam bidang akademik untuk mendapat peluang melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Justeru, penubuhan UCB tidak bermotifkan keuntungan semata-mata (non-profit making institution) tetapi lebih ke arah kebajikan. UCB turut merealisasikan pembangunan keilmuan dalam arus perdana supaya peluang pendidikan ini juga dirasai oleh masyarakat luar bandar dan anak-anak yatim di seluruh negara.
AKADEMI PENGAJIAN ISLAM ANAK YATIM ATAU MISKIN ASEAN (APIA)
APIA adalah merupakan salah satu komponen utama di bawah tapak projek Taman Rimba ASEAN (TRA) melibatkan usahasama daripada ahli gabungan anak yatim atau miskin dari 8 buah negara ASEAN iaitu Thailand, Indonesia, Singapura, Brunei, Filipina, Kemboja, Vietnam dan Malaysia. APIA atau Akademi Pengajian Islam Anak Yatim Atau Miskin ASEAN adalah sebuah pembangunan pengajian Islam yang holistik berkonsepkan Tahfiz Keusahawanan di bawah tapak projek bersepadu Taman Rimba ASEAN (TRA).
Penubuhan APIA ini bermatlamat melahirkan para huffaz dalam kalangan anak-anak yatim atau miskin dari negara-negara ASEAN yang mempunyai sahsiah tinggi, luas ilmu pengetahuan agama beserta mahir dalam ilmu keusahawanan untuk menjadi Imam, pendakwah, dan usahawan Islam yang berjaya dan fasih dalam Bahasa Melayu. Hal ini selari dengan matlamat kerajaan Malaysia untuk melahirkan 125,000 penghafal Quran profesional menjelang tahun 2050 melalui Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN). APIA diwujudkan bagi menangkis fahaman dan persepsi orang ramai dimana anak-anak tahfiz sering dipandang rendah dan serong serta tiada kemajuan terutama dalam bidang akademik. Menerusi APIA, modul pengajian berteraskan ilmu ketauhidan yang selari dengan bidang keusahawanan dalam kalangan anak-anak yatim atau miskin bakal melahirkan pelapis yang berkualiti dan berdaya saing untuk negara.