YAWATIM

Berita & Aktiviti

YAWATIM Jalin Kerjasama Pintar Dengan KK Super Mart (KK Mart)

29 Februari 2024, Khamis – Yayasan Waqaf Pendidikan Anak Yatim Atau Miskin Malaysia (YAWATIM)  kini memperluaskan lagi jalinan kerjasama bersama  rangkaian kedai serbaneka 24 jam, KK SUPER MART  yang mempunyai lebih daripada 816 cawangan seluruh negara. Usahasama ini bermatlamat untuk membangunkan dana pendidikan anak yatim atau miskin Malaysia bagi melanjutkan pengajian ke institusi yang ditubuhkan oleh PEYATIM iaitu Universiti College Bestari (UCB), Kolej Teknologi Bestari (KTB), Institut Kemahiran Bestari (IKB) dan Akademi Pengajian Islam Anak Yatim Atau Miskin ASEAN (APIA).

YAWATIM yang merupakan organisasi pembangunan dana di bawah PEYATIM telah dipertanggungjawabkan untuk membangunkan dana pendidikan anak yatim dan miskin melalui penjualan tanah untuk diwaqafkan sejak tahun 2011 sehingga kini melalui beberapa kerjasama Rakan Korporat yang telah dilantik.

Majlis memeterai memorandum persefahaman (MoU) antara kedua-dua pihak telah berlangsung dengan jayanya petang tadi di Menara KK, Bandar Tasik Selatan, Kuala Lumpur. Majlis ini dihadiri oleh YBrs. Dr Hj Mazlan Ahmad, Timbalan Pengerusi Eksekutif YAWATIM dan Pengasas & Pengerusi Eksekutif KK Supermart & Superstore Sdn Bhd, Datuk Seri Dr KK Chai serta pihak pengurusan tertinggi YAWATIM dan KK Super Mart.

Pengasas KK Super Mart, Datuk Seri Dr KK Chai berkata, menjadi kewajipan syarikat untuk sentiasa aktif dan mempelbagaikan program tanggungjawab sosial korporat (CSR)  kepada golongan yang memerlukan. Menurutnya, kerjasama terjalin atas kepercayaan beliau bahawa membuat kebaikan tidak perlu dibataskan oleh perbezaan bangsa dan agama.

Kerjasama bersama YAWATIM ini mensasarkan agar lebih ramai masyarakat berbilang bangsa untuk mengenali YAWATIM dan bersama menyumbang kewangan kepada program pendidikan untuk anak-anak yatim, miskin dan OKU melalui platform KK SUPER MART.

Sebagai Rakan Strategik Promosi, fasa awal kerjasama ini akan menggunakan platform media sosial , KK Mart Apps & mesin POS KK SUPER MART dalam mempromosikan mengenai YAWATIM.  Tambahan, platform ini membolehkan pelanggan untuk memberi sumbangan melalui QR Code yang disediakan.  Dengan kemudahan ini secara tidak langsung dapat meningkatkan kesedaran dan memupuk sikap keprihatinan pelanggan terhadap kebajikan pendidikan anak-anak yatim dan miskin di negara ini.

Majlis sama turut berlangsungnya penyerahan T-Shirt Sahabat PEYATIM sebagai simbolik kepada kesudian Datuk Seri Dr. KK Chai yang berbesar hati mendaftar sebagai Ahli Sahabat PEYATIM untuk turut sama berjuang bersama PEYATIM.

Timbalan Pengerusi Eksekutif YAWATIM, Dr. Haji Mazlan Bin Haji Ahmad menyatakan penghargaan dan terima kasih atas kesudian pihak KK Super Mart untuk turut sama membantu usaha yang dijalankan ini.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *