28 Julai 2023 – Tanggal 10 Muharram 1445H, Jumaat telah berlangsungnya Program Bubur Asyura bersempena sambutan “HARI ANAK YATIM” bertempat di salah sebuah asrama ahli gabungan PEYATIM iaitu Rumah Kasih Harmoni Paya Jaras, Sungai Buloh Selangor. Program ini dianjurkan bagi meraikan Hari Anak Yatim pada Hari Asyura.


Penganjuran program ini membabitkan penglibatan daripada organisasi di bawah PEYATIM Group iaitu Yayasan Waqaf Pendidikan Anak Yatim Atau Miskin Malaysia (YAWATIM), Kolej Teknologi Bestari (KTB), Rumah Kasih Harmoni Paya Jaras, Sungai Buloh Selangor. Program ini juga mendapat tajaan daripada syarikat Tenaga Nasional Berhad (TNB), Asia Pacific Investment Trade Economic Zone Association (Asiapez Association), Teknokrat Niaga Sdn Bhd, sumbangan dari SAHABAT PEYATIM dan sumbangan orang awam. Selain itu, program ini turut mendapat kerjasama daripada 20 sukarelawan daripada petugas Hospital Sungai Buloh, Persatuan Wanita Islam Prihatin serta penduduk setempat.
Program ini telah dirasmikan oleh Pengerusi Sahabat PEYATIM Malaysia merangkap Timbalan Pengerusi Eksekutif YAWATIM, YBrs. Dr. Haji Mazlan Bin Haji Ahmad dengan disaksikan oleh Pengerusi Penyelaras Jawatankuasa Gabungan PEYATIM Negeri Selangor, Datin Ani Mawar Binti Abdullah dan Pengetua Rumahkasihharmoni Payajaras, En. Jamaludin bin Wahab serta wakil dari ahli gabungan PEYATIM Selangor, SAHABAT PEYATIM dan anak-anak yatim serta penduduk setempat.
Program buat julung kalinya diadakan ini bertepatan dengan sambutan Hari Asyura dan umat Islam dianjurkan juga untuk menyantuni anak yatim. Semasa program ini berlangsung PEYATIM Group mengadakan beberapa aktiviti seperti program pertandingan mewarna dan program Trasformasi Minda yang dikelolakan oleh kakitangan dan pelajar-pelajar Kolej Teknologi Bestari Caw. Ampang (KTB). Selain itu, acara gotong-royong memasak dua jenis bubur Asyura Pantai Timur dan bubur Asyura Utara melibatkan 4 kawah dikendalikan oleh semua yang terlibat semasa program ini berlangsung. Sebanyak 600 bekas bubur Asyura berjaya diagihkan kepada penduduk sekitar dan semua yang terlibat dalam program ini. Agihan bubur Asyura kepada orang ramai ini turut disertai anak-anak yatim bagi menyemai sifat memberi dan membantu.
Ucapan penghargaan dan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam menjayakan program ini. Adalah diharapkan program ini menjadi satu acara tahunan bagi meraikan anak-anak yatim dan diharapkan juga “HARI ANAK YATIM” ini diangkat sebagai hari cuti umum bagi meraikan keberadaan anak yatim serta keprihatinan kepada anak-anak yatim di sekeliling kita.




