YAWATIM

Berita & Aktiviti

Majlis Perasmian Penutup dan Penyampaian Hadiah MTQN Kali Ke -22 Tahun 2025

9 Feb 2025, Ahad – Alhamdulillah, Majlis Tilawah Al-Quran & Nasyid (MTQN) PEYATIM Peringkat Kebangsaan Kali Ke-22 yang bertemakan “Perpaduan Teras Malaysia Madani” telah melabuhkan tirainya dengan penuh gemilang di SMA MAIWP!

Majlis penutup ini telah disempurnakan oleh YBhg. Tuan Mohd Fauzi Bin Abidin, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, yang turut menyampaikan hadiah kepada para pemenang. Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa program seperti ini memperkukuh perpaduan dan membentuk generasi berakhlak mulia serta celik Al-Quran. MAIWP menjadi penaja utama bagi Program MTQN tahun ini. Melihat kejayaan penganjuran program kali ini, MAIWP akan mempertimbangkan agar program akan datang dapat bekerjasama lagi bersama PEYATIM supaya amanah penyumbang-penyumbang dapat dimanfaatkan sebaiknya.

Presiden PEYATIM, YM Prof. Dato’ Dr. Haji Tengku Mahmud Bin Mansor, turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang telah bekerjasama menjayakan program ini. MTQN merupakan salah satu inisiatif utama PEYATIM dalam melahirkan generasi berjati diri, berakhlak mulia, dan berintelek tinggi berlandaskan ajaran Islam serta selari dengan arus pendidikan semasa. Presiden PEYATIM menegaskan bahawa MTQN adalah program dwitahunan yang menjadi tradisi PEYATIM, seiring dengan penganjuran Sukan Anak Yatim (SUKYA), dalam usaha membentuk masa depan cemerlang anak-anak yatim. Pada majlis tersebut, beliau turut mengumumkan bahawa Terengganu akan menjadi tuan rumah MTQN Kali Ke-23 pada tahun 2027 akan datang.

Timbalan Presiden PEYATIM, YBhg. Tan Sri Dato’ Seri (Dr.) Haji Mohd Yussof Bin Abdul Latiff, turut hadir bagi menyantuni para pemenang semasa upacara penyampaian hadiah, menzahirkan sokongan dan dorongan kepada peserta.

Pengerusi Biro MTQN PEYATIM merangkap Naib Presiden PEYATIM Zon Selatan, YBhg. Datuk Haji Mohamad Bin Mahmood, turut memberi ucapan penghargaan kepada Puan Gamarofizan Binti Zainal Abidin, Pengetua SMA MAIWP yang memberi peluang menyediakan tempat kepada anak-anak sepanjang tiga hari program ini diadakan. Beliau turut memberi ucapan penghargaan kepada semua jawatankuasa yang terlibat serta tenaga kerja yang memastikan kelancaran majlis ini.

Majlis ini turut diserikan dengan kehadiran wakil penaja bersama, iaitu Yayasan Bank Rakyat, yang telah memberikan sokongan padu dalam menjayakan program ini. Tahniah kepada semua peserta! Kemenangan ini bukan sekadar anugerah, tetapi juga pengalaman berharga kepada anak-anak yatim dalam perjalanan menjadi insan cemerlang dan berdaya saing.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *