
19 Jun 2026, Jumaat – YAWATIM telah mengadakan satu sesi perjumpaan dan perbincangan bersama pihak Bank Simpanan Nasional (BSN) serta CPRO Solution Sdn. Bhd. bagi meneroka potensi kerjasama baharu dalam usaha memperkasa pembangunan dana pendidikan anak yatim melalui platform digital.
Pihak BSN diwakili oleh En. Faiz Ramzani, Section Head, Government, Corporate, Cashless & Micro, dari Bahagian Digital Banking, Cards & Merchant Business Department, manakala pihak CPRO Solution Sdn. Bhd. turut hadir bagi membentangkan cadangan serta penyelesaian digital yang berpotensi menyokong inisiatif kebajikan dan pendidikan anak yatim.
YAWATIM pula diwakili oleh En. Ahmad Iskandar Bin Mohd. Yussof, Ketua Pegawai Operasi, yang telah berkongsi aspirasi dan hala tuju organisasi dalam memperluaskan sumber dana pendidikan anak yatim melalui pendekatan teknologi yang lebih mudah, cekap dan berkesan.
Perbincangan ini diharap dapat membuka ruang kepada jalinan kerjasama strategik yang mampu meningkatkan penyertaan masyarakat dalam menyokong pendidikan anak yatim, selaras dengan usaha berterusan YAWATIM untuk memastikan kebajikan dan masa depan anak yatim terus terbela.
