Rabu, 30 Ogos 2023 – Sukan Anak Yatim (SUKYA) Kali Ke-12 menemui penamatnya apabila berlangsungnya majlis gilang gemilang meraikan kejayaan hampir 3000 anak-anak yatim yang menyertai program ini. Himpunan terbesar anak-anak yatim yang terlibat dalam Temasya Sukan Anak Yatim (SUKYA) 2023 ini diraikan dengan cukup meriah pada Majlis Makan Malam Perdana Sempena SUKYA 2023 dan Ulangtahun Ke-33 PEYATIM di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang semalam.
Yang Dipertua Negeri (TYT), Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak bersama isteri, Toh Puan Khadijah Mohd. Nor menjadi tetamu kehormat pada majlis malam tersebut. Turut hadir, Ketua Menteri Pulau Pinang Y.A.B.Chow Kon Yeow dan Isterinya Y.A.Bhg. Puan Tan Lian Kee, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid; Mufti Kerajaan Negeri, Sohibus Samahah Dato’ Seri Wan Salim Wan Mohd. Noor; Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ir. A. Rajendran; Naib Cancelor Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dato’ Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed; Presiden PEYATIM, Yang Mulia Prof. Dato’ Dr. Haji Tengku Mahmud Mansor dan Timbalan Presiden PEYATIM, Tan Sri Datuk Seri Dr Mohd Yusoff Latif serta dif-dif jemputan yang lain.


Acara penyampaian hadiah kepada kontinjen-kontinjen juga turut disampaikan. Johan keseluruhan bagi SUKYA Kali Ke-12 ini telah dimenangi oleh Kontinjen negeri Terengganu, tempat kedua Kontinjen Negeri Johor dan tempat ketiga Kontinjen Negeri Perak.
Setinggi-tinggi tahniah kepada Jawatankuasa Pengelola Jamuan Makan Malam Perdana Sempena Temasya SUKYA Ke-12 Tahun 2023 Pulau Pinang dan Sambutan Ulang Tahun Ke-33 PEYATIM atas penganjuran tersebut. Tahniah juga kepada semua ahli-ahli gabungan rumah kebajikan anak-anak yatim seluruh negara yang mengambil bahagian dalam SUKYA ke–12 yang mana Persekutuan Kebajikan Anak Yatim Islam Negeri Pulau Pinang menjadi tuan rumah kepada acara gemilang yang telah berlangsung selama enam hari ini.