
5 Julai 2026 (Ahad) – Telah berlangsung dengan jayanya Program REAKASIH, hasil kerjasama PEYATIM, REA Empire dan Ahli Gabungan PEYATIM yang diadakan di RumahKasihHarmoni Payajaras, Selangor. Program ini merupakan sebahagian daripada inisiatif bersempena Hari Anak Yatim 1448H, yang bertujuan menyantuni anak-anak yatim melalui aktiviti khidmat gunting rambut percuma yang memberikan kegembiraan, kasih sayang serta pengalaman yang bermakna kepada mereka.


Majlis telah diserikan dengan kehadiran Setiausaha Agung PEYATIM, YBhg. Dato’ Hj. Bedolah bin Botok, bersama Datuk Fairoz Khan Sherdali, Pengerusi REA Empire yang turut meluangkan masa beramah mesra serta menyampaikan hadiah kepada anak-anak sebagai tanda penghargaan, kasih sayang dan keprihatinan terhadap kebajikan mereka. Selain itu, suasana program turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti santai serta jamuan makan bersama yang berjaya mengeratkan hubungan antara para sukarelawan, wakil REA Empire dan anak-anak yatim.


PEYATIM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada REA Empire, pengurusan Rumah Kasih Harmoni, serta semua pihak yang telah memberikan komitmen dan sokongan dalam menjayakan Program REAKASIH. Semoga jalinan kerjasama ini terus diperkukuhkan dan menjadi inspirasi kepada lebih banyak organisasi serta individu untuk bersama-sama menyantuni dan membela kebajikan anak-anak yatim.


Insya-Allah, Program REAKASIH akan diteruskan dari semasa ke semasa di rumah-rumah kebajikan di bawah Ahli Gabungan PEYATIM agar lebih ramai anak-anak yatim dapat merasai manfaat, kasih sayang dan kegembiraan melalui program seumpama ini.