
18 Julai 2026 – Program Sambutan Hari Anak Yatim PEYATIM 2026 telah berlangsung dengan jayanya dalam suasana penuh bermakna dan berjaya menghimpunkan anak-anak yatim daripada Ahli Gabungan PEYATIM seluruh negara, para penaja, agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), rakan strategik, penyumbang serta masyarakat yang hadir untuk bersama-sama menzahirkan kasih sayang dan keprihatinan kepada anak-anak yatim.


Majlis telah disempurnakan oleh Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Datuk Syed Kamarulzaman Syed Kabeer, yang turut menyampaikan amanat mengenai kepentingan menyantuni anak-anak yatim serta mengajak seluruh masyarakat berganding bahu dalam memperkasa kebajikan mereka.
Dalam ucapannya, Presiden PEYATIM menegaskan bahawa kebajikan anak-anak yatim merupakan tanggungjawab bersama seluruh masyarakat. Beliau turut menyeru agar 10 Muharam terus diiktiraf sebagai Hari Anak Yatim Malaysia sebagai satu pengiktirafan yang mampu meningkatkan kesedaran masyarakat untuk terus menyantuni, membimbing dan memperkasakan kehidupan anak-anak yatim.


Program ini menjadi platform untuk memperkukuh kesedaran masyarakat mengenai tanggungjawab bersama dalam membela kebajikan, pendidikan dan masa depan anak-anak yatim, di samping mengeratkan kerjasama antara agensi kerajaan, NGO, sektor korporat dan masyarakat dalam menjayakan pelbagai inisiatif kebajikan.


YAWATIM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang telah memberikan sokongan, kerjasama dan sumbangan dalam menjayakan program ini. Semoga segala usaha murni ini menjadi asbab lahirnya lebih ramai insan yang prihatin terhadap kebajikan anak-anak yatim.