YAWATIM

Berita & Aktiviti

YAWATIM Hadir Memperkukuh Agenda Wakaf di Konvensyen Wakaf Dakwah Antarabangsa (IWDC) Antarabangsa 2026 Anjuran PERKIM Kebangsaan

27 Julai 2026 – PEYATIM dan YAWATIM telah berpeluang menghadiri Konvensyen Wakaf Dakwah Antarabangsa (IWDC) 2026 yang dianjurkan oleh PERKIM bertempat di Dewan Plenery, KLCC. Konvensyen ini berjaya menghimpunkan lebih 1,500 peserta dari dalam dan luar negara bagi membincangkan peranan wakaf sebagai pemacu pembangunan dakwah, pendidikan, kebajikan dan kesejahteraan ummah.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, Sultan Perak, manakala konvensyen turut menampilkan barisan panel antarabangsa dari Indonesia, Thailand dan Timor-Leste yang berkongsi pengalaman serta amalan terbaik dalam memperkasa institusi wakaf.

Salah satu detik penting konvensyen ialah Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara PERKIM dan beberapa rakan strategik termasuk PEYATIM, yang diwakili oleh Dato’ Haji Bedolah bin Botok, Setiausaha Agung PEYATIM. Kerjasama strategik ini diharap dapat memperluaskan impak wakaf demi manfaat masyarakat dan pembangunan ummah secara mampan.

Turut membanggakan, Datuk Dr. Hj. Mazlan Ahmad, Timbalan Pengerusi Eksekutif I YAWATIM, telah menyampaikan pembentangan bertajuk “Membentuk Semula Wakaf: Keberkatan, Tadbir Urus dan Kelestarian Pembangunan Ummah”, yang menekankan kepentingan tadbir urus yang baik serta inovasi dalam memperkasakan institusi wakaf.

Konvensyen ini turut dihadiri oleh YM Prof. Dato’ Dr. Haji Tengku Mahmud Mansor, Presiden PEYATIM, bersama barisan pegawai PEYATIM dan YAWATIM. Majlis kemudiannya disempurnakan dengan ucapan penutup oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia.

YAWATIM merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan atas kejayaan penganjuran Konvensyen Wakaf Dakwah Antarabangsa (IWDC) 2026 yang berlangsung dengan jayanya. Terima kasih juga atas jemputan yang diberikan kepada YAWATIM untuk bersama-sama menjayakan konvensyen berprestij ini. Semoga jalinan kerjasama yang terjalin akan terus diperkukuhkan dalam usaha memperkasakan institusi wakaf serta memacu pembangunan ummah yang lebih mampan dan berimpak.

Semoga penyertaan ini menjadi pemangkin kepada kerjasama yang lebih erat dalam memperkukuh ekosistem wakaf serta memperluaskan manfaatnya kepada golongan yang memerlukan, khususnya anak-anak yatim, asnaf dan masyarakat keseluruhannya.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *