YAWATIM

Berita & Aktiviti

Majlis Amanat Presiden PEYATIM 2026

26 Jan 2026 – Majlis Amanat Presiden PEYATIM 2026 telah berlangsung dengan penuh semangat dan hala tuju yang jelas dalam meneruskan perjuangan PEYATIM Group sebagai wadah membela pendidikan dan kebajikan anak-anak yatim serta golongan miskin. Majlis ini dihadiri oleh barisan kepimpinan PEYATIM Group dan semua Warga PEYATIM Group yang terdiri daripada Kakitangan PEYATIM,YAWATIM, UCB, KTB,IKB dan TAHSIN secara fizikal dan atas talian.

Memasuki usia 36 tahun, PEYATIM kini berada pada fasa kematangan. Presiden merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada seluruh warga kerja PEYATIM Group, termasuk 74 ahli gabungan PEYATIM di seluruh negara, yang terus berganding bahu memacu misi dan visi perjuangan ini.

Bagi tahun 2026, semua entiti di bawah PEYATIM Group iaitu PEYATIM, YAWATIM, UCB, KTB, IKB dan TAHSIN digesa untuk meningkatkan prestasi masing-masing, bergerak lebih progresif dan melangkah ke hadapan berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Antara penekanan utama Amanat Presiden ialah peranan YAWATIM sebagai badan utama pengumpulan dana pendidikan. Usaha ini bagi membolehkan penyediaan biasiswa kepada anak-anak yatim dan miskin dari 8 buah negara ASEAN iaitu Malaysia, Thailand, Brunei, Filipina, Vietnam, Indonesia, Singapura dan Kemboja untuk melanjutkan pengajian di TAHSIN dan UCB. Seramai 50 pelajar akan dipilih, iaitu 5 orang dari setiap negara ASEAN dan 15 orang pelajar dari Malaysia.

Presiden turut menyeru agar seluruh warga PEYATIM memperingati dan memberi penghormatan kepada Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi, mantan Perdana Menteri Malaysia, yang banyak menyumbang dan membantu PEYATIM khususnya dalam usaha pembinaan UCB suatu ketika dahulu.

Dalam perkembangan lain, UCB akan menubuhkan “Learning Center” di Subang Jaya pada tahun ini, dengan penawaran program PhD, Sarjana dan Ijazah. Selain itu, cawangan ketiga KTB akan dibuka di Puchong di atas tanah yang telah diwaqafkan oleh seorang Hamba Allah, lengkap dengan bangunan, restoran dan surau. Projek ini melibatkan kos pembangunan sekitar RM200,000 dan bakal memberi manfaat melalui kursus automotif. Pembukaan ini melengkapkan rangkaian KTB Setiu, KTB Ampang dan KTB Puchong, mencerminkan pertumbuhan PEYATIM yang dinamik dan tidak statik.

Presiden turut menegaskan bahawa PEYATIM merupakan sebuah NGO yang berjaya kerana memiliki institusi pengajian tinggi (IPT) sendiri untuk golongan anak yatim dan B40. Bermula 2026, UCB akan diperkasa sebagai Universiti Komuniti, membuka ruang kepada masyarakat setempat mengikuti pelbagai bidang kemahiran dan pengkhususan seperti agrosains, kulinari dan sebagainya.

Dalam memastikan kualiti pendidikan, Presiden menegaskan setiap inisiatif di IPT PEYATIM mesti berpaksikan acuan visi pendidikan holistik, berteraskan konsep IPU (IMAM, PEMIMPIN dan USAHAWAN). Sebagai galakan kecemerlangan, seorang pelajar terbaik IPT TVET di bawah KTB dan IKB akan dianugerahkan sebuah motosikal elektrik pada tahun 2027.

Akhir amanat, Presiden menzahirkan harapan agar PEYATIM terus menjadi sebuah badan yang mengalu-alukan dan membimbing anak-anak yatim serta anak-anak miskin untuk berjaya di dunia dan akhirat, dengan sokongan padu seluruh warga kerja dan kepimpinan PEYATIM Group.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *