11 Ogos 2025 –YAWATIM telah diberi peluang untuk membuka booth pameran dan promosi sempena Perhimpunan Agung Dwitahunan anjuran Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) yang berlangsung di Dewan Sri Siantan. Program berprestij ini menghimpunkan kepimpinan PEMADAM dari seluruh negara, wakil agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), badan korporat serta pelbagai pihak yang komited dalam usaha pembangunan sosial dan kesejahteraan masyarakat.


Penyertaan YAWATIM melalui pembukaan booth khas telah menjadi platform yang berkesan untuk memperkenalkan peranan dan fungsi organisasi dalam memperkasakan pendidikan, kebajikan dan pembangunan sahsiah anak-anak yatim serta golongan yang memerlukan. Para pengunjung berpeluang mendapatkan maklumat secara langsung mengenai pelbagai program yang dilaksanakan oleh YAWATIM termasuk inisiatif waqaf pendidikan, bantuan kebajikan, program pembangunan modal insan dan projek-projek kelestarian yang memberi manfaat kepada komuniti sasaran.
Sepanjang program berlangsung, petugas YAWATIM turut mengadakan sesi penerangan, perkongsian maklumat dan promosi kempen waqaf pendidikan kepada para delegasi dan pengunjung. Sambutan yang diterima amat menggalakkan apabila ramai peserta menunjukkan minat untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai kaedah penyertaan, bentuk sumbangan yang boleh diberikan serta impak yang telah berjaya dicapai melalui pelaksanaan program-program YAWATIM.


